GEORGE TOWN, 9 JULAI - Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini melancarkan satu lagi laluan perkhidmatan bas percuma 'Congestion Alleviation Transport' (CAT) di kawasan George Town yang akan beroperasi dengan tiga buah bas.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri, Teh Lai Heng berkata laluan ini merupakan antara 12 laluan terpilih mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, sebagai permulaan sebanyak tiga buah bas akan mula beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 11 malam, dalam laluan yang akan dikenali sebagai CAT George Town 2.

"Berkonsepkan pusingan bulatan yang bermula dan berakhir di Terminal Bas Komtar, CAT George Town 2 akan melalui Jalan Penang, Jalan Utama, Jalan Pangkor, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Larut, Jalan Anson, Jalan Perak, Jalan Macalister dan Jalan Dr Lim Chwee Leong," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan bas percuma itu di Terminal Bas Komtar di sini hari ini.

Katanya, jumlah keseluruhan jarak laluan adalah lapan kilometer dengan tempoh kekerapan bas adalah selang 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.

"Ketika ini tiga buah bas akan mula beroperasi dan kami bersedia menambah bilangan bas beroperasi sekiranya laluan George Town 2 mendapat pemintaan yang tinggi," katanya.

Sebelum ini, kerajaa negeri telah melancar perkhidmatan bas percuma di kawasan Air Itam dan Balik Pulau di bahagian pulau serta Bukit Mertajam dan Nibong Tebal di tanah besar manakala antara laluan yang bakal dilancarkan adalah Batu Kawan, Pulau Tikus/Tanjung Tokong, Bertam, Bayan Baru, Alma, Sungai Dua (Universiti Sains Malaysia) dan Seberang Jaya.

Teh berharap laluan George Town 2 ini dapat membantu dalam mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan melancarkan lalu lintas terutamanya di kawasan sekitar Komtar dan sekitar bandar raya George Town.

"Saya berharap orang ramai akan menggunakan perkhidmatan bas percuma ini khususnya kepada mereka yang bertugas di sekitar George Town agar kesesakan lalu lintas di kawasan ini dapat dikurangkan," katanya.

Beliau juga berharap sistem perkhidmatan bas percuma CAT ini akan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam di negeri ini. - BERNAMA