JOHOR BAHRU, 4 JULAI - Lima lagi mayat dipercayai mangsa bot pancung karam di Kota Tinggi pada Isnin lepas ditemukan oleh pasukan penyelamat, hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata mayat empat lelaki dan seorang wanita ditemukan pasukan APMM dan Polis Marin antara pukul 9.45 pagi hingga 1.45 tengah hari tadi.

"Dua mayat dijumpai pada kedudukan 5.5 batu nautika timur laut Tanjung Siang, satu mayat pada tiga batu nautika timur laut Tanjung Penawar dan dua lagi pada 2.2 batu nautika tenggara tanjung yang sama," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, penemuan terbaharu itu menjadikan 32 mangsa bot berkenaan telah dijumpai dengan 25 daripadanya selamat, tujuh meninggal dunia dan 12 lagi masih hilang.

Sanifah berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa kini yang telah memasuki hari ketiga telah diperluaskan dari 450 batu nautika (semalam) kepada 600 batu nautika persegi bermula dari perairan Tanjung Sedili hingga ke Tanjung Penyusup, dengan melibatkan seramai 125 anggota dan lapan aset dari pelbagai agensi.

Bot membawa 44 penumpang itu karam di kedudukan 6.5 batu nautika dari Tanjung Punggai, Pengerang, dekat Kota Tinggi pada 12 tengah malam Isnin.

Ketika itu, kesemua penumpang berumur antara 20-an dan 40-an dalam perjalanan dari Batam, Indonesia untuk memasuki negara ini menerusi Tanjung Penawar, Kota Tinggi. - BERNAMA