ALOR SETAR, 4 JULAI - Seorang lelaki warga Thailand ditahan Pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika cuba menyeludup 32 kilogram daun ketum bernilai RM2,880 ke negara asalnya malam tadi.

Panglima 6 Briged, Brig Jen Abdul Aziz Ismail berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pada 9.15 malam berhampiran Pos Batu 34, Padang Terap, dekat sini ketika sedang membawa beberapa bungkusan daun ketum dengan menggunakan sebuah motosikal.

"Ketika membuat kawalan keselamatan, anggota mengesan sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki yang masuk ke kawasan rondaan sebelum dia diarahkan berhenti, namun suspek bertindak mencampakkan beberapa bungkusan ketum ke dalam semak sebelum ditahan untuk tindakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pemeriksaan lanjut menemui 32 kilogram daun ketum yang telah diikat menggunakan plastik lutsinar yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran berikutan permintaan dan nilai tinggi di Thailand.

Kesemua daun ketum dan motosikal itu dirampas dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk siasatan lanjut. - BERNAMA