IPOH, 4 JULAI - Anggota Exco Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memohon maaf kepada Ketua Penerangan Keadilan Perak Senator Siti Aishah Shaik Ismail berhubung isu Siti Aishah menarik diri sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohammad Nizar yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor mendoakan agar Siti Aishah dapat meneruskan perjuangannya dalam memastikan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan tanggungjawab kepadea rakyat dengan baik.

"Kita boleh baca kenyataan beliau (Siti Aishah) dalam akhbar pagi ini. Kenyataan itu adalah pendirian peribadi beliau."

"Saya sokong pandangan beliau untuk tarik demi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Perak. Saya amat menghargai pendirian beliau dan memohon maaf sekiranya ada perkara yang tidak elok," katanya.

Nizar yang juga bekas menteri besar Perak berkata demikian selepas merasmikan 'Seminar Inisiatif Hijau' anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.

Menerusi kenyataan media semalam, Siti Aishah memaklumkan, keputusan awal untuk menerima pencalonan tersebut dibuat atas kefahaman PKR yang harus diberikan jawatan itu memandangkan DAP mempunyai lima jawatan Exco bagi kerajaan negeri.

Katanya, perundingan bagi menentukan calon Speaker berlarutan sehingga Isnin di mana beliau akhirmya membuat keputusan menarik diri.

Selain Siti Aishah yang dicalonkan oleh PKR, DAP pula pula mencalonkan Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham yang akhirnya dilantik sebagai speaker DUN.

Seminar sehari itu dihadiri 200 peserta terdiri daripada anggota persatuan-persatuan elektrik dan pendawaian di Perak. - BERNAMA