KOTA BHARU, 28 JUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Kelantan (KPDNKK) merekodkan 21 kes kesalahan menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) selama 15 hari bermula 8 Jun lepas.

Pemangku Pengarahnya Firdaus Zakaria berkata kes terbabit dikesan hasil pemeriksaan ke atas 1,535 premis perniagaan di seluruh negeri ini.

"Keseluruhan 21 kes itu membabitkan kompaun berjumlah RM3,400 dan nilai rampasan sebanyak RM2,262. Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak meletakkan tanda harga dan menjual barang terkawal melebihi harga maksimum," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tugas Pengarah KPDNKK Kelantan di sini, hari ini.

Pada majlis itu Firdaus yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah KPDNKK Kelantan dilantik secara rasmi sebagai pemangku Pengarah KPDNKK berkuat kuasa 1 Jun lepas menggantikan Datuk Ab Ghani Harun yang bersara wajib pada 30 Mei lalu.

Sementara itu Firdaus berkata hampir keseluruhan daripada 957 premis yang diperiksa setakat semalam melalui Operasi Catut 4.0 mematuhi peraturan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Setakat ini semakan harga telah dilakukan ke atas 9,220 barangan dan hanya empat amaran dikeluarkan selain lapan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan diserahkan kepada peniaga.

"Laporan yang diterima menunjukkan peniaga mempunyai kesedaran yang tinggi berhubung pematuhan penurunan GST dan tiada pencatutan berlaku," katanya.

Beliau berkata Operasi Catut 4.0 akan diteruskan sehingga 30 Jun ini melibatkan semua premis perniagaan yang menawarkan barangan dan perkhidmatan bagi mengesan peniaga ingkar arahan yang telah ditetapkan itu. - BERNAMA