JOHOR BAHRU, 26 JUN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 20 kotak rokok seludup bernilai RM100,800 dalam pemeriksaan ke atas sebuah kereta berhampiran Jalan Ulu Pulai di Gelang Patah, dekat sini, dua hari lepas.

Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya berjaya memintas kereta berkenaan, namun, pemandunya yang disyaki seorang lelaki berjaya melarikan diri ke dalam kawasan kebun kelapa sawit berhampiran.

"Bertindak atas maklumat berkaitan penyeludupan, seorang pegawai bersama lima anggota PPM Wilayah Dua yang menjalankan Op Landai dengan menggunakan kereta persendirian telah mengekori sebuah kereta Toyota Estima dari arah Pekan Nenas, Pontian menghala ke Gelang Patah, kira-kira 11.30 malam, dua hari lepas.

"Setelah mengekori kenderaan itu selama 15 minit, anggota PPM Wilayah Dua cuba memintas, namun, pemandunya terus memecut kenderaan sebelum berhenti di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Jalan Ulu Pulai lalu melarikan diri meninggalkan kenderaan itu dengan enjinnya masih hidup," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Khiu berkata pemeriksaan ke atas kereta itu kemudiannya menemui 20 kotak besar berwarna coklat yang di dalamnya mengandungi 10,000 paket kecil rokok tidak sah berjenama John White.

Beliau berkata kesemua rokok dan Toyota Estima bernilai RM80,000 dibawa ke Markas PPM Wilayah 2 bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. - BERNAMA