KANGAR, 26 JUN - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat sejarah tersendiri apabila menerima seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengikuti program Diploma Mikroelektronik pada sesi pengambilan Jun ini.

Pelajar berkenaan Muhammad Adib Wajdi Dzulhawira, 18, anak jati Perlis, yang mengalami kecacatan kaki kanan sejak lahir, akan mengikuti pengajian selama tiga tahun di Kampus Uniciti, Padang Besar, bermula semalam.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata pelajar itu diambil setelah dimaklumkan permohonan beliau ditolak oleh institusi pengajian tinggi (IPT) kerana kecacatan yang dialaminya.

"Muhammad Adib memperoleh keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memenuhi syarat kemasukan. Saya fikir beliau wajar diberi peluang untuk menyambung pengajian," kata Zul Azhar dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zul Azhar berkata sesiapa sahaja yang memenuhi syarat kemasukan harus diberi peluang, bukan dilayan berbeza kerana cacat.

Muhammad Adib, anak pertama daripada dua beradik pula berkata kecacatan yang dialaminya tidak melemahkan semangat beliau untuk menuntut ilmu sehingga berjaya malah ia memberi inspirasi kepada adiknya yang masih belajar di sekolah menengah.

"Saya amat berterima kasih kepada UniMAP kerana memberi peluang untuk menyambung pelajaran dan tidak akan mensia-siakannya," katanya. - BERNAMA