TAIPING, 26 JUN - Kerajaan negeri Perak akan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mencegah pencerobohan kawasan hutan yang menjadi habitat kelip-kelip di Kampung Dew dekat sini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing berkata aktiviti pencerobohan hutan itu boleh merosakkan industri pelancongan di kawasan sekitar.

Katanya kerajaan negeri mempunyai pelan jangka panjang untuk pembangunan kawasan berkenaan dan akan berbincang dengan persatuan, pejabat tanah daerah Kerian serta Larut, Matang dan Selama untuk mengatasi pencerobohan tersebut.

"Saya juga akan hubungi Pejabat Tanah dan Galian negeri untuk mendapatkan maklumat mengenai kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan jeti kelip-kelip Kampung Dew di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Tan berkata ekopelancongan menjadi kekuatan kepada industri pelancongan negeri ini untuk menjana ekonomi Perak.

Selain itu, Tan berkata rezab kawasan jeti kelip-kelip Kampung Dew akan diperluaskan daripada 0.2347 hektar kepada 0.261 hektar setelah ia diluluskan pada 21 Mac lepas.

"Kita sedang menunggu pelan baru daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) dan ia dijangka akan dapat diluluskan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu Setiausaha Persatuan Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Dew Shukor Ishak berkata pencerobohan kawasan hutan di kawasan tersebut menjejaskan 10 hingga 20 peratus pendapatan 125 nelayan tempatan.

Katanya usaha menggazetkan kawasan tersebut perlu bagi mengelak kegiatan penebangan pokok berembang yang menjadi tempat hidupan kelip-kelip di Sungai Sepetang itu.

"Pencerobohan dengan menebang pokok di kawasan itu untuk ditanam dengan kelapa sawit menyebabkan hanya 188 pokok berembang yang masih tinggal," katanya. - BERNAMA