KUALA LUMPUR, 25 JUN - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengucap tahniah kepada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berikutan kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden negara itu yang diadakan pada Ahad.

"Tahniah Presiden Erdogan kerana berjaya dipilih semula," katanya dalam mesej Twitter.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan dan rakyat Malaysia merakamkan ucapan tahniah mereka kepada presiden serta rakyat Turki atas kemenangan itu yang merupakan bukti kepada kekuatan dan semangat demokrasi di negara berkenaan.

Erdogan, 64, memperoleh 52.5 peratus undi dalam pilihan raya presiden negara itu, setelah lebih 99 peratus undi dikira, jauh mendahului calon daripada parti pembangkang CHP, Muharrem Ince yang meraih 31 peratus undi. - BERNAMA