GEORGE TOWN, 14 JUN - Pemilikan bangunan warisan oleh syarikat atau individu asing di Tapak Warisan Dunia George Town dekat sini masih terkawal, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata setakat ini, daripada lebih 4,000 hartanah di George Town World Heritage Site, hanya tiga atau empat peratus sahaja dimiliki mereka.

Pemilikan bangunan warisan oleh entiti asing mungkin menjadi isu tetapi minat yang ditunjukkan bagi memulihkan bangunan-bangunan ini akan menyumbang kepada pengurusan tapak warisan, katanya selepas merasmikan pameran sambutan ulang tahun ke-10 George Town diisytihar UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia, di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun setelah pengiktirafan itu, masih terdapat lebih 500 bangunan yang usang dan hampir runtuh di George Town yang tidak mampu dibaik pulih oleh pemiliknya.

"Setelah bangunan-bangunan itu dimiliki entiti asing, mereka secara langsungnya akan menjalankan konservasi terhadap hartanah mereka dan memasukkan unsur kegunaan supaya dapat menghidup balik bangunan berkenaan," katanya.

Chow berkata tindakan itu mampu menyelamatkan bangunan tersebut.

Terdahulu, beliau yang juga Anggota Parlimen Tanjong telah merasmikan Pameran George Town yang bertemakan Indah dan Berubah-Tukar sempena sambutan majlis tersebut.

Beliau berkata pameran ini dibuka untuk orang ramai hingga 27 Julai mulai 11 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Isnin di Bangunan UAB di Gat Lebuh China.

"Pameran itu mempunyai tiga segmen yang menceritakan keadaan George Town iaitu pada masa lampau, masa sekarang dan masa depan yang bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai bagi meindungi dan menjaga budaya dan warisan kita," katanya. - BERNAMA