KUALA LUMPUR, 14 JUN - Seorang konstabel polis dan bekas polis bantuan antara tiga yang ditahan di Jalan Perak, di sini pada Isnin dipercayai aktif melakukan samun di pusat permainan video sekitar Selangor.

Ketua Polis Dearah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah berkata kesemua suspek yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu dikesan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan pada 4 pagi.

Katanya suspek yang menaiki kereta jenis Honda Civic bertindak memecutkan kenderaan mereka selepas melihat MPV itu sebelum terbabas di bahu jalan dan diberkas anggota polis.

"Selepas menahan kesemua lelaki itu kita mendapati seorang daripada mereka ialah anggota polis yang masih bertugas, seorang bekas polis bantuan KTM manakala seorang lagi tidak mempunyai pekerjaan dan positif dadah, kesemua mereka mengaku melakukan beberapa jenayah samun di kawasan Serdang."

"Dengan tangkapan ini kami percaya telah menyelesaikan beberapa kes jenayah samun pusat permaianan video di sekitar Selangor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, hari ini.

Shaharuddin berkata polis turut merampas beberapa komputer riba, dua bilah pisau dan sehelai jaket hitam berlambang polis.

Kesemua suspek direman empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 selain disiasat menerusi Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sementara itu, beliau berkata dua wanita warga Indonesia yang dipercayai aktif melakukan jenayah seluk saku ditahan masing-masing pada Selasa dan 9 Jun lepas di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Katanya hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif melakukan jenayah seluk saku di daerah Dang Wangi terutama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini menjelang musim perayaan.

Suspek berumur 58 tahun yang berstatus penduduk tetap akan dituduh di mahkamah hari ini, manakala seorang lagi wanita pendatang asing tanpa izin (PATI), 34, direman 14 hari.

Dalam pada itu beliau berkata, kes seluk saku ketika Ramadan di daerah Dang Wangi menunjukkan penurunan iaitu hanya 120 kes direkodkan pada tahun ini berbanding 258 kes pada tahun lepas.

Pada majlis itu, Shaharuddin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sembilan pegawai dan anggota dari Balai Polis Dang Wangi. - BERNAMA