KUALA SELANGOR, 12 JUN - Mengambil keberkatan Ramadan, as-Salihin Trustee Berhad menyerahkan sumbangan sebanyak RM15, 000 kepada Pertubuhan Kebajikan Anak- anak Yatim dan Miskin Sabak Bernam (Paysa) semalam.

Ketua Pegawai Operasi as-Salihin, Khairi Mustapha berkata sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan oleh seluruh kakitangan as-Salihin.

Kami juga ada menerima sumbangan daripada orang ramai yang terpanggil untuk turut serta dalam program ini selepas melihat kempen kami menerusi media sosial.

Kami berharap ia sekaligus dapat meringankan beban yang ditanggung bagi menjaga anak-anak yang kurang bernasib baik ini, katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada Paysa, di sini.

Syarikat itu turut mengagihkan sumbangan duit raya sebanyak RM3, 000 kepada 30 anak-anak yatim yang ditempatkan di rumah tersebut.

Sementara itu, Pengurus Paysa Fadhilatul Saadiah Siraj melahirkan rasa syukur di atas keprihatinan as-Salihin yang tidak pernah lupa untuk meraikan mereka sejak 2016.

Setakat ini, Paysa masih belum dilengkapi penempatan asrama malah hanya menjadikan surau dan dewan sebagai asrama sementara yang mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan.

Saya berharap selepas ini, lebih ramai pihak di luar sana sudi membantu kami di sini, katanya. - BERNAMA