PUTRAJAYA, 7 JUN - Pihak berkuasa mempunyai maklumat mencukupi bahawa Low Taek Jho atau Jho Low merupakan antara penjenayah utama menyebabkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi yang terbesar di dunia, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, katanya tindakan tegas mengikut undang-undang harus disegerakan bagi mengheret Jho Low ke muka pengadilan.

"Ada orang tanya kepada saya kenapa tidak tangkap Jho Low kerana sudah dapat maklumat. Saya kata tunggulah sedikit (masa lagi), tetapi ada pihak yang tidak mahu tunggu, mereka harap tindakan tegas boleh kita ambil dalam tempoh bukan hari ini, tetapi 'semalam'.

"Saya tidak menyatakan saya hendak mendahului peraturan dan undang-undang, tetapi dalam kes-kes yang sudah jelas, maka tindakan tegas mengikut undang-undang kanun jenayah atau rasuah perlu diambil seberapa segera," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, skandal rasuah seperti 1MDB yang dilaporkan kepada polis dan agensi penguat kuasa yang lain tidak boleh diketepikan dan tindakan perlu diambil dengan segera.

Justeru, Muhyiddin mahu warga KDN bekerjasama dalam membantu pelbagai pihak termasuk jawatankuasa dan pasukan khas berkaitan 1MDB agar tindakan segera dapat diambil terhadap mana-mana pihak tanpa kira bulu dan warna.

Sementara itu, beliau berkata KDN akan mengkaji semula kemasukan pekerja asing serta menguruskan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara daripada ancaman.

Beliau berkata ia adalah untuk memastikan mana-mana pihak termasuk ketua sindiket atau pemimpin tempatan yang bersuhabat dalam kemasukan tenaga asing secara haram dikenakan hukuman lebih berat agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.

"Saya mahu semua dasar dan sistem yang diguna pakai diteliti semula. Perkara ini bukan susah, tetapi semakin lama, semakin membebankan. Secara tidak langsung, rakyat menanggung kos. Rakyat sudah mempersoalkan lambakan tenaga pekerja asing yang begitu ramai di seluruh negara.

"Ada jumlah lebih besar daripada rakyat tempatan dan mengambil alih perniagaan. Bagaimana ia boleh berlaku? Apakah elemen rasuah wujud dalam kemasukan pekerja asing? Saya tahu jumlah besar tenaga asing datang ke Malaysia untuk bekerja di perladangan atau kilang, lebih daripada yang diperlukan," katanya.

Muhyiddin berkata isu kemasukan PATI di semua pintu dan persempadanan termasuk Sabah dan Sarawak tidak boleh dikompromi dan ada kemungkinan kemasukan tenaga asing begitu besar boleh membawa kesan buruk kepada masalah sosial, ekonomi serta keselamatan.

"Bagaimana kita mahu menguruskan hal lambakan PATI agar ia tidak berterusan. Ini bukan soal seorang masuk ke dalam negara, ini adalah jutaan. Saya anggap ini adalah ancaman terbesar dan jika tidak diuruskan serta mengambil langkah untuk mengatasi, ia akan mengancam keselamatan negara pada masa akan datang.

"Kerajaan Pakatan Harapan komited memerangi rasuah ditangani secara tegas. Walaupun negara memerlukan pekerja asing untuk membantu ekonomi negara bergerak lancar, namum perkara pokok rakyat tempatan perlu diberikan peluang dan keutamaan dalam bidang pekerjaan," katanya. - BERNAMA