PUTRAJAYA, 7 JUN - Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan akan menyalurkan peruntukan kepada kerajaan negeri secara adil dengan mengambil kira kemampuan kewangan setiap negeri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata polisi kerajaan persekutuan itu dinyatakan sendiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada wakil kerajaan negeri pada mesyuarat Majlis Kewangan Negara, di sini hari ini.

"Perdana Menteri mengatakan bahawa kerajaan persekutuan mestilah adil.

"Sesetengah negeri yang kaya boleh menampung (perbelanjaan) berbanding negeri-negeri yang miskin yang sepatutnya mendapat lebih lagi peruntukan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Wan Azizah berkata kerajaan persekutuan juga mengamalkan polisi adil kepada kerajaan negeri yang diterajui pembangkang.

"Walaupun tidak bersama dengan kerajaan persekutuan, (peruntukan) akan disalurkan, tetapi mestilah (akhirnya sampai) kepada rakyat tanpa mengira parti," katanya. - BERNAMA