KUALA LUMPUR, 4 JUN - Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin isu pelantikan Peguam Negara dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak istana.

Beliau berkata kemungkinan terdapat sedikit masalah berkenaan perkara terbabit tetapi kepimpinan baharu Pakatan Harapan (PH) mahu melihat segala bentuk kerjasama antara semua pihak yang terlibat dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya dimaklumkan ada mesyuarat Majlis Raja-Raja dan mungkin itu boleh bantu dari segi selesaikan isu berkenaan bagi pihak jemaah menteri kami memberi sokongan yang padu kepada Perdana Menteri," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelantikan Peguam Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang diarahkan bercuti.

Beberapa portal berita melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menolak calon yang dicadangkan kerajaan pusat itu.

Laporan itu juga menyebut Raja-raja Melayu turut menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak calon yang dicadangkan kerana bukan Melayu dan tidak beragama Islam.

Sementara itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan semalam menyatakan Raja-raja Melayu akan mengadakan perbincangan khas berhubung isu itu di Istana Negara, esok.

Mengulas kelewatan pembentukan kabinet penuh, Muhyiddin berkata beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

"Pembentukkan jemaah menteri adalah bidang kuasa Perdana Menteri...ia akan dilakukan mungkin dalam minggu ini..bila harinya tidak pasti," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kes pegawai tinggi polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhyiddin berkata pihaknya tidak campur tangan mengenai perkara itu.

"Kalau ia babitkan lain-lain agensi, termasuklah SPRM, kita takkan campur tangan. Pihak agensi dan pihak berkuasa tertentu ada hak untuk bertindak kalau mereka mempunyai bukti...kalau ada tindakan, pihak berkuasa sini (polis) akan berikan kerjasama sepenuhnya," katanya.

Sabtu lepas, Bernama melaporkan bahawa dua pegawai Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman ditahan SPRM bersama wang tunai keseluruhannya kira-kira RM1.5 juta pada Khamis lepas. - BERNAMA