JOHOR BAHRU, 4 JUN - Isu berkaitan pelantikan Peguam Negara (AG) diharapkan diatasi dengan berhati-hati supaya membawa manfaat kepada semua pihak.

Menyarankan demikian, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata isu itu, jika tidak ditangani dengan baik, boleh mencetuskan ketidakstabilan kepada negara.

"Walaupun dari segi perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri, tapi kadang kala kita juga sedar bahawa ada perkara-perkara lain yang mungkin tidak dapat hendak dipenuhi jika kita mentafsirkan perlembagaan itu secara 'strictly' (langsung)," katanya di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang berkelulusan undang-undang, sehubungan itu berharap ada kebijaksanaan semua pihak dalam menghadapi isu berkenaan.

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menerusi kenyataan berkata Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan perbincangan khas berkenaan jawatan Peguam Negara esok (Selasa).

Syed Danial berkata warkah persilaan untuk perbincangan khas di Istana Negara itu telah dikeluarkan pada 1 Jun kepada Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata ketika ini kerajaan dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan Peguam Negara yang ada sekarang serta calon penggantinya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan bercuti dan tempatnya digantikan oleh Peguam Cara Negara, berkuat kuasa serta-merta.

Dr Mahathir berkata Mohamed Apandi diberikan cuti berikutan terdapat beberapa aduan tentangnya walaupun belum ada sebarang laporan rasmi dibuat berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. - BERNAMA