KUALA LUMPUR, 3 JUN - Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berharap tidak dianiayai oleh pihak-pihak tertentu oleh kerana dendam politik yang kini dirasakan olehnya selepas kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) menakluki takhta Kerajaan Malaysia.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia berkata, apa yang dilihat pada hari ini seolah-olah kerajaan baharu ingin menekan lawan mereka kerana dendam politik yang telah disimpan sejak sekian lama.

" Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan yang telah diberi mandat oleh rakyat perlu memakmurkan, memajukan dan mensejahterakan rakyat bukannya menindas pihak lawan," kata jamal.

" Contoh seperti saya, saya bukanlah penjenayah atau pengganas tetapi saya adalah pemimpin politik, pemimpin masyarakat yang ingin mendedahkan apa yang berlaku di dalam kawasan kita yang dibimbangkan oleh masyarakat," kata jamal lagi.

Jamal kini dikenakan tindakan hukuman lebih daripada 9 kes termasuk kes yang dahulunya tiada tindakan tapi masih di dalam pemerhatian (KIV), tiada tindakan lanjut dan fail sudah ditutup (NFA) kini telah dibuka semula untuk siasatan.

Hal-hal kecil seperti laporan polis tentang gambar yang telah disunting dan telah pun disiasat pula turut dibangkitkan kembali dan membuatkan Jamal perlu direman selama tiga hari untuk membantu siasatan pihak polis serta kes lain pula dibuka untuk siasatan sehingga tempoh reman perlu bersambung-sambung sehingga selesai.

" Bagi saya perkara tersebut adalah tidak masuk akal dan saya percaya mereka diberikan tekanan oleh pihak atasan untuk memberikan tekanan politik terhadap saya," kata jamal.

" Saya bukannya menolak pelaksanaan undang-undang tetapi apabila melihat apa yang telah berlaku terhadap saya pada hari ini seperti nama saya yang telah disenarai hitam dan diletakkan dibawah langkah keselamatan khas oleh pihak PDRM, serta beberapa penguatkuasaan, saya percaya pihak kerajaan telah memberi arahan kepada mereka untuk membuat perkara-perkara berkenaan bagi memberi tekanan kepada saya," kata jamal lagi.

Apa yang telah berlaku terhadap Jamal sehingga hari ini juga dianggap sama seperti kezaliman terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu masa dahulu yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Jamal turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia tentang apa yang telah terjadi kepadanya kerana apa yang berlaku adalah semata-mata demi dendam politik yang dilakukan oleh kerajaan PH demi menjatuhkan kredibilitinya sebagai kepimpinan masyarakat.

Dalam pada itu, Jamal menyeru masyarakat diluar sana bersama-sama dengannya untuk menyuburkan sistem demokrasi di negara kita ini yang telah dikhianati oleh kepimpinan kerajaan PH yang menjalankan sistem kukubesi yang menekan lawan mereka. - KITAIKINI