ALOTENANGO (Guatemala), 6 Jun - Gunung berapi Fuego di Guatemala yang meletus pada hujung minggu lepas terus meragut banyak nyawa dengan angka korban kini mencecah sekurang-kurangnya 73 orang.

Peningkatan aktiviti gunung berapi itu menyebabkan tujuh komuniti dipindahkan selain adakalanya operasi menyelamat terpaksa dihentikan seketika.

Di bandar Escuintla, belakunya kesesakan lalu lintas disebabkan ramai penduduk tempatan keluar meninggalkan rumah masing-masing kerana panik.

Operasi mencari mayat mangsa sedikit perlahan memandangkan keadaan tanah di kawasan terjejas dan diburukkan lagi dengan debu serta asap tebal.

"Usaha mencari semua mayat mangsa diteruskan sehingga semua yang maut ditemui meskipun jumlah sebenar korban tidak diketahui," kata ketua agensi pengurusan bencana Sergio Cabanas. - BERNAMA-NNN-AGENCIES