KUALA LUMPUR, 21 APR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah kepada ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Semporna Datuk Abdul Hajan Gurimbang atas pemergian isteri dan keluarga pemandunya yang terkorban dalam kemalangan pada Selasa lepas.

"Takziah saya ucapkan kepada keluarga pemandu yang terkorban dan juga kepada Datuk Abdul Hajan Gurimbang yang kehilangan isteri tercinta, semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat. Al-Fatihah," demikian catatan Najib di laman Twitternya hari ini.

Menurut laporan akhbar tempatan, Datin Rositah Ghani Abdul Shah, 53, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent pada Khamis manakala pemandu Sulaiman Harianto, 28, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan dekat Bukit Taviu, Ranau. - BERNAMA