MELAKA, 20 APR - Hanya dalam masa satu hari pelbagai urusan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka dapat diselesaikan dalam masa singkat di bawah satu bumbung tanpa perlu ke pelbagai destinasi yang lain.

Rakyat di negeri ini menyanjung tinggi usaha kerajaan mewujudkan UTC Melaka, UTC pertama di negara ini dan menyifatkan pusat yang terletak di Jalan Hang Tuah itu sebagai hab perkhidmatan pelbagai urusan melibatkan agensi kerajaan dan swasta yang memenuhi keperluan komuniti bandar.

UTC Melaka bernilai RM20 juta itu mula beroperasi pada 12 Jun 2012 sebelum dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Jun 2012.

Berkeluasan 12,995 meter persegi, bangunan sembilan tingkat itu kini menempatkan lebih 50 agensi kerajaan dan swasta serta beropersasi mulai 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Bagi orang kelainan upaya (OKU) fizikal, S. Gunasegaran, 42, penyediaan semua kemudahan di dalam satu bangunan, sudah pastinya menjimatkan masa dan tenaga orang ramai tanpa perlu terkejar-kejar untuk berurusan dengan jabatan kerajaan dan swasta.

"Kemudahan yang ada di UTC Melaka mesra OKU dan saya berpuas hati dengan status perkhidmatan yang disediakan, selain layanan yang diberikan kepada orang ramai patut dipuji kerana kaki tangan di pusat ini juga bersifat mesra pelanggan," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi pengunjung, Monica Tay Soo Keen, 43, berkata waktu UTC beroperasi yang sangat fleksibel memudahkan dia berurusan pada luar waktu pejabat, sekali gus menyelesaikan kesemua urusan penting dalam tempoh sehari di bangunan sama.

"Memang sesuai dibuka pada setiap hujung minggu sebab kebanyakan masyakat bekerja Isnin hingga Jumaat, pada masa sama saya juga tidak perlu mengambil cuti. Sewajarnya rakyat memanfaatkan dengan sebaik-baiknya kemudahan di UTC ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus UTC Melaka Siti Aisyah Mahmood berkata selepas hampir enam tahun beroperasi, UTC Melaka telah memberikan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan kepada lebih 14.8 juta rakyat negara ini.

"Secara purata pusat ini menerima lebih 200,000 pengunjung sebulan yang berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan, ternyata pusat perkhidmatan sehenti ini menjadi lokasi pilihan untuk menyelesaikan pelbagai urusan."

"Transformasi infrastruktur dan kemudahan di UTC ini berjaya meningkatkan jumlah pengunjung setiap hari sekali gus mampu mencatat jumlah pengunjung yang besar dan meningkat setiap tahun," katanya.

Beliau berkata UTC yang juga sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bawah kepimpinan Najib memastikan segala perkhidmatan, inisiatif dan program kerajaan dapat memberi manfaat secara maksimum kepada rakyat. - BERNAMA