SHAH ALAM, 9 APR - Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) negeri itu diadakan.

Mohamed Azmin membuat pengumuman itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menandatangani watikah proklamasi pembubaran dalam satu istiadat ringkas di Istana Alam Shah di Klang, kira-kira 10.30 pagi tadi.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu lepas (7 April) bagi membolehkan PRU ke-14 (PRU14) diadakan.

Mandat kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR tamat pada Jun 2018. Sesi persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 21 Jun 2013, selepas PRU13.

Pada PRU13, Selangor yang mempunyai komposisi 56 kerusi DUN, dikuasai DAP dan PAS yang mana masing-masing memenangi 15 kerusi dan PKR (14) manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 12 kerusi yang kesemuanya dimenangi calon UMNO. - BERNAMA