KUALA TERENGGANU, 28 MAC - Tiga petugas Bernama Biro Terengganu memenangi tiga kategori Malam Anugerah Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 2018 di sini, malam tadi.

Wartawan sambilan, Nur Khalidah Halim memenangi kategori Penulisan Berita Penyelidikan Terbaik Bukan Bahasa Melayu dengan artikel bertajuk 'Research student produces flour, yogurt from bread fruits' dan membawa pulang RM500.

Dua lagi wartawan sambilan Bernama pula dipilih sebagai penerima anugerah khas berdasarkan sumbangan mereka membuat liputan berkenaan universiti itu.

Tuan Azam Tuan Johan dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Naib Canselor UniSZA menerima RM1,000 manakala Nodin Mohadi pula dipilih menerima Anugerah Khas UniSZA untuk wartawan di daerah Besut dan menerima hadiah RM500.

Bernama Biro Terengganu turut dipilih sebagai penerima Anugerah Penulisan Berita Online Terbanyak dengan hadiah RM500.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Unisza, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dalam ucapannya berkata media banyak membantu UniSZA dalam menyalurkan pelbagai maklumat terkini dan bermanfaat kepada masyarakat.

"Program tahunan kali keempat ini bertujuan menghargai peranan pengamal media cetak dan media elektronik yang banyak mempromosikan kejayaan dan kecemerlangan UniSZA sebagai sebuah universiti yang unggul selama ini.

"UniSZA juga akan meneruskan lebih banyak kecemerlangannya agar sentiasa menjadi pilihan pelajar dari seluruh dunia sebagai tempat mereka mencari ilmu.

"Malah kami juga akan meneruskan kejayaan dalam bidang penyelidikan berimpak tinggi agar memberi manfaat kepada semua pihak pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA