KUALA LUMPUR, 20 MAC - Pengerusi Barisan Nasional Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyatakan kesediaanya untuk menjadi calon pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang di Sungai Besar setelah mendapat perkhabaran bahawa Ketua Wanita Umno Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil telah melupakan hasratnya untuk bertanding di parlimen berkenaan.

Shahrizat telah mengambil kata putus terbabit kerana beliau berhasrat untuk membantu jentera Wanita Umno Malaysia untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 akan datang.

Menurut Jamal, selepas mendengar perkhabaran daripada Shahrizat terbabit, Umno Bahagian Sungai Besar telah mengadakan satu mesyuarat untuk berbincang mengenai calon PRU-14 yang akan dipertandingkan di kawasan berkenaan dan mendapat kata sepakat supaya Jamal dan Budiman Mohd Zohdi dicalonkan.

Terdahulu, Jamal telah mengumumkan yang beliau tidak berhasrat untuk menjadi calon pada PRU-14 tetapi hanya berhasrat untuk mengekalkan jawatan yang disandang olehnya ketika ini iaitu sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi BN Sungai Besar.

Tetapi di atas kata sepakat yang telah diberikan oleh Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Besar kepada Jamal supaya bertanding di kawasan berkenaan, Jamal telah mengubah hasratnya menyatakan kesediaannya untuk menjadi calon.

" Keseluruhan AJK Umno bahagian menyatakan pendapat mereka mendesak saya dan Budiman untuk berganding menjadi calon bagi menghadapi PRU-14, setelah saya memikirkannya, saya sedia menggalas tanggungjawab berkenaan," kata jamal.

" Yang paling penting bukan merebut kerusi yang di pertandingkan tetapi solidariti daripada kami untuk masa depan Sungai Besar, Saya akan memastikan seluruh jentera BN Sungai Besar serta pengundi memberikan komitmen dan sokongan kepada kami berdua," kata jamal lagi.

Jamal menyerahkan kepada pucuk kepimpinan, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menentukan keputusan yang telah dibuat oleh mereka.

" Jika PM meletakkan saya sebagai calon, Saya bersedia untuk berganding dengan Budiman dan calon di Sekinchan untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) akan kecundang di Sungai Besar," kata jamal lagi. - KITAIKINI