ARAU, 13 MAC - Beban hutang negara akan melonjak kepada RM416 bilion jika cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta tol dihapuskan sebagaimana yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pemansuhan GST dan tol sahaja akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil negara berjumlah RM410 bilion tidak termasuk hutang sedia ada yang lain.

Katanya separuh daripada pembangunan negara juga tidak akan dapat dilaksanakan akibat kehilangan hasil negara yang besar itu.

"Dia (PH) punya manifesto lagi dahsyat.. (negara) kita akan berhutang dan adik-adik sekalian (generasi muda) yang akan tanggung... Sebab itu kita tidak boleh tipu rakyat, jangan tipu rakyat, yang mana boleh buat, kita buat, yang mana tidak boleh buat, kita beritahu tidak mampu."

"Tapi percayalah kita sentiasa fikir tentang rakyat kerana ini dasar kita, rakyat didahulukan," katanya pada Program Bajet 2018 bersama Rakyat: Belia dan Pelajar, di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini. - BERNAMA