KUALA LUMPUR, 7 MAC - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan juga Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) hari ini mengakui beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan yang bakal dianjurkan oleh Bersih 2 akan menjadi lebih ganas.

Tun M yang hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta yang dipanggil menjadi saksi Sepina terhadap saman fitnah Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah Terhadap Pengerusi NGO Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos pada petang tadi mengakui pernah menyiarkan pernyataan berkenaan di dalam blog peribadinya pada awal Mei 2012 yang lalu ketika menjawab pertanyaan oleh Peguam Jamal, Mohamed Nasser Yusof.

Dalam pada itu, Tun M menyatakan beliau telah mengubah pandangan setelah menyertai perhimpunan BERSIH 4 dan BERSIH 5 yang lalu dengan menyatakan perhimpunan BERSIH yang disertainya itu berada dalam keadaan aman ketika menjawab pertanyaan balas oleh Peguam Maria, N Surendran.

Perbicaraan disambung pada hari esok membabitkan Jamal dan juga Aktivis Mahasiswa Tahun 70-an, Datuk Hassan Karim. - KITAIKINI