PUTRAJAYA, 1 MAC - Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang dilancarkan hari ini adalah bukti komitmen Malaysia dalam memastikan hak asasi manusia di negara ini terjamin dan terpelihara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pelan itu bakal menjadi landasan utuh dalam mentransformasikan usaha kerajaan bagi memperkukuh hak asasi manusia di negara ini.

Menurutnya ia juga selari dengan agenda dan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50), melalui pendekatan bawah-ke atas, yang mengumpulkan pandangan, maklum balas dan aspirasi rakyat, dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya.

"Lebih membanggakan lagi, NHRAP yang dibangunkan ini merupakan suatu pelan yang komprehensif, dengan mengambil kira aspirasi rakyat dan berdasarkan acuan Malaysia," katanya semasa melancarkan pelan itu, di Perdana Putra, di sini hari ini.

Najib berkata dokumen NHRAP, yang dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa dengan merujuk garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menggariskan lima teras utama. - BERNAMA