SANDAKAN, 23 FEB - UMNO mahu semua biro teknologi maklumatnya di 191 bahagian memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk mengetengahkan segala usaha baik yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata mereka tidak sepatutnya menunggu hingga parlimen dibubarkan untuk aktif.

"Sekarang adalah pusingan akhir yang memerlukan kita meningkatkan segala kegiatan kita dari segi penyebaran usaha positif dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pusat serta program wakil rakyat dan pemimpin setempat," katanya kepada pemberita selepas ProgramTaklimat kepada Jawatankuasa Biro IT UMNO Batu Sapi di sini, Khamis.

Katanya media sosial adalah medium terbaik memandangkan terdapat kira-kira 43 juta pemilikan telefon pintar di negara ini yang turut merekodkan 18 juta akaun Facebook.

Menurutnya rakyat Malaysia juga merupakan pengguna aplikasi WhatsApp paling ramai di dunia selain 20 juta rakyat negara ini menggunakan Internet.

"Jadi angka ini menunjukkan betapa penting peranan media sosial dalam pilihan raya umum ke-14 nanti," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata enam kaedah digunakan Biro IT UMNO untuk penyebaran di media sosial iaitu tulisan yang baik, gambar dan infografik, video pendek, keratan akhbar menarik, poster dan karikatur menarik.

Pada masa sama beliau mengingatkan anggota UMNO, khususnya anggota jawatankuasa Biro IT agar tidak terlibat dalam penyebaran berita palsu menerusi media sosial. - BERNAMA