LABUAN, 22 FEB - Pemuda UMNO Labuan menunaikan janji mereka untuk meneruskan program isi petrol percuma bagi motosikal 150cc sekali sebulan.

Naib Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan yang juga Ketua Pemuda UMNO Labuan berkata langkah meneruskan program itu setiap bulan bertujuan mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya belia berikutan kelembapan ekonomi di pulau bebas cukai ini.

"Kami meneruskan program ini selepas mengambil kira golongan belia yang telah kehilangan pekerjaan dalam syarikat minyak dan gas, ini merupakan sebahagian daripada inisiatif sayap Pemuda," katanya kepada Bernama hari ini.

Lebih 800 penunggang motosikal mengisi petrol percuma di stesen Petronas Saguking malam tadi dalam program yang diadakan lebih sejam dan disaksikan anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Labuan Datuk Khalid Ghani memuji inisiatif yang dilakukan Pemuda UMNO Labuan itu dan menyifatkan ia satu platform yang bagus untuk para belia menjalinkan hubungan baik dengan pemimpin tempatan dan membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Program yang diperkenalkan pada 2016 itu telah diluaskan ke seluruh cawangan UMNO di Wilayah Persekutuan sejak April tahun lepas. - BERNAMA