KUALA LUMPUR, 13 FEB - Status keselamatan Gunung Agung di Bali, Indonesia telah diturunkan daripada Tahap IV (Awas) kepada Tahap III (Siaga) pada Sabtu dan radius kawasan berbahaya juga dikurangkan daripada 6km kepada 4km, demikian menurut Kementerian Luar hari ini.

Bagaimanapun, memandangkan status tersebut boleh berubah dalam masa yang singkat, pihak berkuasa Indonesia telah memberi peringatan terhadap kemungkinan pemindahan penduduk sekiranya status keselamatan itu meningkat.

"Rakyat Malaysia adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk keselamatan diri, mengikuti perkembangan berita tempatan dan mematuhi arahan daripada pihak-pihak berkuasa tempatan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Bali menerusi e-mel balihcmalaysia@gmail.com atau Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi e-mel mwjakarta@kln.gov.my atau panggilan telefon +62215224947 atau +6281380813036. - BERNAMA