GEORGE TOWN, 9 FEB - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan lima hari bermula 29 Okt depan untuk perbicaraan kes saman Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong dasar laut di Pulau Pinang, terhadap Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan dan Utusan Melayu (M) Bhd.

Hakim Datuk Rosilah Yop menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di dalam kamar di hadapannya. Turut hadir peguam Datuk Baljit Singh dan Low Joo Hean yang mewakili Huan dan peguam Mohd Shahrul Fazli dan Mohd Haziq Razali, mewakili Consortium Zenith BUCG.

Baljit, ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu pemberita, sebanyak 10 saksi defendan termasuk Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dijangka dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Consortium Zenith, syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong bernilai RM6.34 bilion itu, memfailkan saman terhadap Huan dan syarikat penerbitan media Utusan Melayu (M) Bhd pada 11 Ogos 2016 kerana didakwa menyebarkan tuduhan palsu terhadap syarikat itu selain memfailkan injunksi bagi melarang Huan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek itu.

Bagaimanapun pada September 2016, syarikat itu menukar namanya kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd selepas menggugurkan Beijing Urban Construction Group (BUCG) daripada projek pembinaan terowong dasar laut dan tiga jalan utama di negeri ini ekoran kejadian kren jatuh di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur yang menghempap Chim Khoo Sing, 24, dan menyebabkan wanita dari Pulau Pinang itu maut pada Ogos 2016.

Consortium Zenith dianugerah projek itu menerusi proses tender. Consortium Zenith adalah usaha sama antara Zenith Construction Sdn Bhd, China Railway Construction Co Ltd, Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd. - BERNAMA