PADANG (SUMATERA BARAT), 9 FEB - Menteri Komunikasi dan Mutimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menghadiri perasmian Hari Pers Nasional Indonesia (HPN) 2018, yang dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Sambutan HPN yang disifatkan kedua terbesar selepas perayaan Aidilfitri itu turut dihadiri menteri kabinet, gabenor provinsi dan pemimpin pemimpin utama provinsi tempatan, duta luar negara, tokoh korporat dan lebih 6,000 pengamal media seluruh Indonesia, serta penglibatan penduduk setempat secara tidak langsung.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan delegasi wartawan dari Malaysia menerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang diterajui Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

HPN 2018 dianjurkan bersama pengamal media di Indonesia yang terdiri daripada Persatuan Wartawan Indonesia (PWI), Dewan Pers Indonesia, Serikat Penerbit Surat Kabar (SPS), Asosiasi Televisi Swasta Indonesia (ATVSI), Asosiasi Televisi Lokal Indonesia (ATVLI), Persatuan Radio Siaran Swasta Nasional Indonesia (PRSSNI), dan Persatuan Perusahaan Periklanan Indonesia (PPPI).

Sambutan HPN 2018 bermula sejak 7 Feb lepas dengan pelbagai program menarik seperti pameran, konvesyen dan program hiburan yang turut melibatkan penduduk setempat.

Ketua Iswami Indonesia Asro Kamal Rokan berkata Hari Pers Nasional disifatkan perayaan kedua terbesar di Indonesia selepas Aidilfitri kerana ia mendapat komitmen penuh pemerintah, pengamal media, penyertaan swasta, tokoh korporat dan akademik, duta duta luar di Indonesia serta penyertaan rakyat setempat.

"HPN diadakan 9 Feb setiap tahun dan semua provinsi amat mengharapkan provinsi mereka tuan rumah.

"Tuan rumah HPN akan mendapat banyak limpahan manfaat. Pertama, Presiden Indonesia akan rasmikan HPN dan turut melakukan lawatan kerja ke provinsi berkaitan dan akan banyak pengumuman berkaitan pembangunan untuk penduduk provinsi itu dibuat.

"Kedua, kehadiran tokoh tokoh korporat, liputan media dan program HPN menjana sumber pendapatan yang besar kepada provinsi terbabit, " katanya yang juga Anggota Dewan Kehormat PWI.

Beliau berkata rakyat setempat khususnya pengusaha hotel, makanan, pengangkutan akan mendapat manfaat daripada penganjuran sambutan itu, yang diadakan di berlainan kota setiap tahun.

Industri media di Indonesia bermula pada 1937 menerusi penubuhan agensi berita ANTARA pada 13 Dis 1937, dan ia terus berkembang serta bercambah dalam menyalurkan aspirasi rakyat membangkitkan perjuangan kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan.

Simbolik kepada penghargaan itu, tanggal 9 Feb diumumkan sebagai Hari Pers Nasional oleh Presiden Indonesia ketika itu, Presiden Soeharto pada 1985. - BERNAMA