KUALA LUMPUR, 2 FEB - Pemimpin belia dan seorang pegawai polis antara empat belia Malaysia yang akan memulakan pengembaraan paling jauh meliputi 24 negara sejauh 24,000 kilometer dalam usaha mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records.

Pengurus ekspedisi Shidane Razak berkata menerusi Program Kembara Semangat Piala Dunia 2018 itu, pengembaraan menaiki kereta Proton selama 45 hari melalui jalan darat akan bermula dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya pada 27 April ini dan berakhir di Moscow, Russia di mana perlawanan Piala Dunia akan diadakan. Shidane, yang juga Pengerusi Biro Sukan dan Exco Cawangan Gerakan Belia 4B Cawangan Pandan Luar, Titiwangsa akan mengetuai kembara itu.

Katanya ekspedisi yang dianjurkan oleh gerakan itu turut disertai penolong pengurus ekspedisi Mohd Redzuan Rusilan, ASP Mohd Zairulhaidee Mohd Zamzuri dan Izzul Hazwan Rusli yang kesemuanya berusia 29 tahun.

"Program kembara ini bertujuan meningkatkan semangat dan kesepaduan dengan pelbagai lapisan masyarakat dunia luar melalui sukan di peringkat antarabangsa, tanpa mengambil kira perbezaan fahaman politik, agama, bangsa dan negara," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kembara itu yang dijangka berakhir 12 Jun, akan ke negara-negara yang menyertai Piala Dunia 2018 termasuk Croatia, Iran, Switzerland, Sepanyol, Perancis, England dan Jerman.

Shidane berkata kembara yang akan melalui jalan pedalaman dan kawasan-kawasan tumpuan pelancong antarabangsa itu turut mengadakan pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat dengan bermain 'street soccer' 3 on 3 (bola sepak jalanan).

"Kami yakin pengembaraan yang akan melalui pelbagai negara, termasuk negara-negara yang bergolak tidak akan membantutkan perjalanan program," katanya.

Shidane berkata pasukan itu akan berjumpa dengan duta atau wakil konsulat Malaysia di negara yang dilalui untuk sesi penyerahan cenderahati atas kerjasama kedutaan untuk kelancaran program kembara itu.

"Kita juga akan mengadakan penyerahan dan pemberian sumbangan sebagai wakil sukarelawan Malaysia kepada rakyat tempatan yang tidak berkemampuan," katanya.

Beliau berkata pengembaraan itu secara tidak langsung akan turut mempromosikan kereta buatan negara, Proton Preve 1.6 AT Executive yang dinaiki keempat-empat mereka.

"Kami yang menggemari aktiviti sukan lasak seperti selam skuba, terjunan udara dan menunggang kuda berharap dapat menggunakan pengalaman yang ada untuk menghadapi cabaran kembara ini, kami dijangka kembali ke tanah air pada 23 Jun nanti," katanya.

Menurutnya, kembara itu turut mendapat sokongan daripada KBS dan menterinya Khairy Jamaluddin, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Kami mahu berkongsi ilmu dan pengalaman daripada kemajuan negara yang dilawati agar masyarakat di Malaysia mampu memahami dan mempelajari sesuatu yang baik untuk dilakukan di Malaysia," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program kembara itu, orang ramai boleh melayari laman web www.kembarafifa2018.com, Facebook Kembara Semangat Piala Dunia 2018 dan Instagram @kembarafifa2018 selain menghubungi nombor sekretariat 010-2918181. - BERNAMA