SUNGAI PETANI, 2 FEB - Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes letupan mercun yang mengakibatkan 26 cedera ketika perarakan Thaipusam berdekatan Kuil Dewa Subramaniya Swami dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Saifi Abdul Hamid berkata lelaki berumur 25 hingga 34 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958.

"Memang jika ikut syarat tiada kebenaran diberikan untuk persembahan mercun dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada penganjur, tapi mungkin ini tindakan mereka (sekumpulan individu) yang mahu meraikan perayaan ini.

"Bagaimanapun tiada sebarang unsur khianat dalam kejadian ini," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dekat sini malam tadi.

Saifi berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 8.30 malam dan menegaskan kejadian itu hanya membabitkan letupan mercun dan bukannya bunga api seperti dilapor media sebelum ini.

"Ia berpunca apabila das terakhir daripada empat das letupan tersasar daripada yang sepatutnya sehingga menyebabkan ia tidak naik ke udara sebaliknya meletup di tanah sekali gus menyebabkan serpihan mercun itu terkena pengunjung yang berada di kawasan itu.

"Ketika kejadian, perarakan berhala sedang keluar dari kuil berkenaan, iaitu lebih kurang 50 meter dari kuil itu, sementara jarak antara chariot (pedati yang membawa perarakan berhala) dengan tempat kejadian (letupan mercun) pula lebih kurang 100 meter," katanya.

Mengenai keadaan mangsa yang terlibat, beliau berkata kesemua mangsa yang terdiri daripada 14 lelaki dan 12 wanita berusia antara lima hingga 59 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dengan hanya empat daripada mereka yang dimasukkan ke wad di HSAH.

"Mereka yang dimasukkan ke wad antaranya ialah kanak-kanak perempuan lima tahun yang cedera pada mata kanan, wanita berusia 57 tahun (luka tangan kanan) serta lelaki berusia 38 tahun (cedera mata kiri).

"Selebihnya hanya mengalami luka-luka kecil akibat terkena serpihan dan percikan api di bahagian anggota badan serta dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Anggota polis berpangkat Lans Koperal yang cedera ketika sedang bertugas di tempat kejadian juga turut dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang malam tadi, katanya. - BERNAMA