KUALA LUMPUR, 6 FEB - Malaysia dan Singapura bersetuju untuk mewujudkan koridor pasaran bagi menghubungkan kedua-dua negara, di samping pautan dagangan antara bursa saham masing-masing untuk meningkatkan lagi faedah yang diraih bersama dan memanfaatkan potensi ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata 'Hubungan Malaysia-Singapura' ini akan menyediakan akses yang mudah dan lancar kepada kedua-dua pelabur dari kedua-dua negara ke pasaran antara satu sama lain dengan gabungan permodalan lebih daripada AS$1.2 trilion (AS$1=RM3.90) dan 1,600 syarikat senaraian awam.

Penubuhan koridor pasaran itu adalah susulan daripada perbincangan beliau dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loon, kata Najib dalam ucap tamanya pada Simposium Pasaran Modal Dunia 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura bersetuju yang kedua-dua pasaran telah mencapai paras kecanggihan dan tahap kematangan yang mencukupi bagi menubuhkan koridor pasaran itu.

Susulan keputusan itu, satu pelan kawal selia akan dirangka oleh pihak berkuasa relevan kedua-dua negara, untuk membuka jalan bagi mewujudkan pautan dagangan.

Najib berkata inisiatif itu akan meluaskan lagi pilihan pelaburan bagi pelabur dan menyumbang kepada aktiviti yang lebih rancak dalam kedua-dua pasaran.

Malaysia berfungsi sebagai pintu masuk ke ASEAN dan sebaik sahaja Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dimuktamadkan, hampir 50 peratus daripada penduduk dunia dan lebih 30 peratus keluaran dalam negara kasar global, akan dirangkumi.

Kita juga dijadualkan memeterai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik, pengganti kepada Perkongsian Trans-Pasifik pada Mac ini, katanya.

Perdana Menteri berkata pembaharuan dan pengurusan ekonomi Malaysia telah dipuji oleh banyak badan dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

Bank Dunia mengatakan yang kita dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan mereka menyatakan yang, saya petik, 'Ekonomi Malaysia kini sedang berkembang daripada kedudukan kukuh', katanya.

Najib berkata kerajaan komited memastikan perniagaan dan institusi bukan hanya menyediakan nilai bagi pemegang kepentingan mereka dan masyarakat di mana mereka beroperasi, tetapi juga mematuhi standard tertinggi tadbir urus, yang sesuai dengan Malaysia.

Simposium itu yang bertemakan 'Renaissance of Capitalism: Markets for Growth' anjuran Suruhanjaya Sekuriti selama dua hari bermula hari ini, adalah untuk menilai model dan hubungan global yang menyokong pertumbuhan bagi abad ke-20. - BERNAMA