SANDAKAN, 29 JAN - Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod baik dalam melaksanakan pembangunan untuk kemudahan rakyat pelbagai kaum di kawasan Batu Sapi, kata Pengerusi Penyelaras BN Batu Sapi Datuk Samsuddin Yahya.

Shamsudin yang juga Ketua UMNO Batu Sapi berkata ia hasil keperihatinan berterusan kerajaan negeri dan persekutuan untuk memenuhi keperluan rakyat di kawasan itu.

Antara pembangunan ketara yang dilaksanakan di kawasan itu adalah pewujudan dua Program Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Batu Sapi dan Lintas Sibuga serta pembinaan beberapa rumah bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) melibatkan semua kaum dan agama, katanya pada Majlis Makan Malam anjuran MCA Bahagian Batu Sapi di sini, malam tadi.

Justeru, Samsuddin berkata berdasarkan rekod baik dalam melaksanakan pembangunan itu, BN Batu Sapi tidak gentar untuk menghadapi parti pembangkang dalam mempertahankan kawasan Parlimen itu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong serta Karamunting pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

Anggota DUN Sekong itu berkata komitmen membela nasib rakyat dilakukan tanpa henti kerana pemimpin BN bukan pemimpin bermusim seperti parti pembangkang yang hanya aktif menjelang pilihan raya.

Katanya usaha membela rakyat bukan menjadi keutamaan kepada parti pembangkang kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan peribadi dan politik, juga tiada kesepakatan dalam pakatan mereka mana mungkin mereka dapat menumpukan kepada usaha membela nasib rakyat. - BERNAMA