BENTONG, 16 JAN - Barisan Nasional (BN) Pahang telah menyerahkan senarai calonnya untuk pilihan raya umum ke-14 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan agihan kerusi antara parti komponen juga dikekalkan, kata Pengerusinya Datuk Seri Adnan Yaakob.

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang, berkata sekarang terserah kepada Najib selaku Pengerusi BN untuk menimbang dan membuat keputusan akhir berhubung senara itu.

"Di Pahang kita akan letakkan calon ikut tradisi kerusi parti komponen kerana itu hak parti komponen," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pada Majlis Bantuan Anak Pahang (BAP) 2018 peringkat Dewan Undangan Negeri Pelangai, di sini hari ini.

Ditanya mengenai peratusan muka baharu, Adnan berkata isu muka baharu atau lama tidak timbul memandangkan pemilihan calon dibuat berdasarkan kehendak masyarakat di kawasan yang berkenaan.

"Saya tidak kira muka lama atau muka baharu, kita pilih calon bukan berdasarkan siapa yang kita mahu tetapi lebih kepada calon yang orang ramai suka. Kita mahu yang terbaik untuk rakyat, tidak guna kalau calon muda pun tetapi rakyat tidak suka," katanya.

Pada masa sama, Adnan berkata beliau telah meminta semua jentera parti di peringkat cawangan dan bahagian supaya memperkemas jentera masing-masing serta lebih kerap turun padang bagi mendekati rakyat.

"Fokus kita sekarang ialah pastikan kawasan yang menang tidak kalah kerana dalam keadaan politik yang semakin celaru sekarang, fokus kita kena betul," katanya.

Sementara itu Adnan berkata Program BAP yang diperkenalkan itu adalah lanjutan daripada program bantuan persekolahan yang pernah dilaksanakan oleh pihak Yayasan Pahang sebelum ini.

"Jika sebelum ini kita memberikan bantuan seperti beg sekolah dan pakaian sekolah, kali ini buat julung kalinya kita memberikan bantuan wang tunai sebanyak RM200 bagi menampung perbelanjaan persekolahan," katanya.

Beliau berkata bantuan itu diberikan kepada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan dan pada tahun ini seramai 20,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri terpilih menerima bantuan tersebut.

Sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk tujuan itu dengan agihan dilakukan sejak Disember tahun lalu dan dijangka berakhir hujung bulan ini, katanya. - BERNAMA