SITIAWAN, 18 JAN - Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tembok pagar sebuah rumah di Taman Seri Sentosa, Ayer Tawar, di sini malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Wong Sam, 75, dari Taman Sri Indah, Ayer Tawar, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata dalam kejadian pada 10 malam, mangsa yang menaiki kereta jenis Kia Spectra itu difahamkan dalam perjalanan dari pekan Ayer Tawar ke rumahnya.

"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang memandu kereta berseorangan dipercayai terbabas dan melanggar tembok rumah tersebut.

"Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans dari klinik Ayer Tawar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Hanif berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat. - BERNAMA