SANDAKAN, 12 JAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini menyampaikan cek faedah pengurusan jenazah kepada waris wartawan Kosmo, Mohammad Hafiz Ahmad yang meninggal dunia pada 21 Dis tahun lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Perkeso Sandakan berkata cek bernilai RM2,000 itu disampaikan oleh Pengurus Pejabat Perkeso Sandakan Joseph Immanuel kepada bapa Allahyarham, Ahmad Sukiran dan ibunya Rupiah Datu Rashid di sini, semalam.

Allahyarham Mohammad Hafiz, 29, yang berasal dari sini merupakan wartawan Meja Luar Negara Kosmo di Kuala Lumpur dan meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor akibat penyakit anemia.

Allahyarham mula berkhidmat dengan Kosmo pada September 2012 sebagai wartawan Meja Berita. - BERNAMA