SHAH ALAM, 12 JAN - Sebuah pusat pemindahan banjir di Kuala Langat, Selangor dibuka petang semalam bagi menempatkan 18 mangsa daripada empat keluarga setakat 9 pagi ini.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor dalam kenyataan hari ini berkata kawasan di Jalan Perepat, Pulau Carey telah dinaiki air dan penduduk terjejas dipindahkan ke Dewan Komuniti Taman Datok Hormat, Teluk Panglima Garang, dekat sini.

Penduduk terlibat diminta berpindah secara berperingkat sejak 2 petang semalam susulan hujan kadangkala lebat bermula Rabu malam.

Katanya faktor cuaca yang tidak menentu itu menyebabkan air naik kira-kira 0.12 meter dan APM Selangor terus memantau keadaan semasa sebagai langkah persediaan. - BERNAMA