JOHOR BAHRU, 12 JAN - Mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat dan Mersing terus meningkat kepada 118 orang setakat 8 pagi ini berbanding 95 orang malam tadi berikutan hujan renyai berterusan sejak semalam sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata di Mersing, sebanyak 28 orang daripada tujuh keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Air Papan sementara 34 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Tenglu.

Selain itu, satu lorong di Jalan Telok Arong (J214) di daerah berkenaan ditutup untuk lalu lintas akibat runtuhan cerun namun sebelah lorong lagi masih boleh digunakan trafik, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Di Segamat, katanya jumlah mangsa banjir di Balairaya Gemereh Balai Badang adalah sebanyak 46 orang daripada 14 keluarga manakala Balairaya Kampung Pogoh Tengah menempatkan 10 orang daripada dua keluarga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca buruk di daerah Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kulai manakala amaran cuaca waspada di daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian. - BERNAMA