JOHOR BAHRU, 11 JAN - Dua remaja lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Altis di Kilometer 1.3, Jalan Sawah-Gunung Pulai, Pontian di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Zakaria Abd Rahman berkata kejadian berlaku apabila kenderaan itu cuba memintas sebuah kenderaan lain di hadapannya sebelum merempuh empat remaja lelaki yang sedang menunggang basikal.

"Kita menerima panggilan kejadian pada 10.35 malam tadi dan hasil siasatan mendapati pemandu kenderaan berusia 38 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Ulu Pulai menuju ke Pekan Nenas manakala kesemua remaja berkenaan datang dari arah bertentangan," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata rempuhan itu mengakibatkan dua penunggang basikal itu tercampak dan melambung beberapa meter ke atas jalan raya serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penunggang yang cedera anggota badan dihantar ke Hospital Pontian untuk menerima rawatan.

Katanya pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan manakala mayat mangsa juga telah dihantar ke hospital sama untuk tindakan selanjutnya.

Zakaria berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Amiruddin Abd Majid, 12, dan Ibnu Ahmad Ahmad Naizl, 15, manakala dua lagi mangsa iaitu Nur Iqmal Haffiz Abdul Wahab, 14, patah bahu serta Mohammad Nur Hayatuddin Mazli, 14, cedera ringan.

Katanya lagi tiga daripada penunggang basikal terbabit masih belajar di sebuah sekolah menengah di Pekan Nanas, manakala seorang lagi tidak bersekolah.

"Mereka dalam perjalanan pulang daripada berlatih kompang," katanya.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, Tey Heng Haw, 38, direman empat hari mulai hari ini. - BERNAMA