ARAU, 11 JAN - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan 'Program Masjid Sahabat' iaitu jalinan kerjasama antara Masjid An-Nur UiTM (Universiti Teknologi Mara) Perlis dengan Masjid Universitas Islam Rhiau (UIR), Indonesia, di sini, petang semalam.

Keberangkatan baginda di Masjid Al-Imran, Pauh Putra disambut Rektor UiTM Perlis Zailuddin Ariffin serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta pegawai kanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS).

Jalinan hasil inisiatif UiTM Perlis itu mendapat kerjasama MAIPs bertujuan mengimarah dan menyemarakkan masjid sebagai pusat aktiviti umat Islam dan masyarakat antarabangsa serumpun.

Zailuddin berkata ia merupakan kesinambungan Program Masjid Sahabat tujuh masjid di Perlis yang dilaksanakan oleh tujuh fakulti UiTM Perlis sejak beberapa tahun lepas.

"Jalinan dengan UIR ini adalah yang pertama dengan masjid di luar negara," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program tersebut.

Seramai 30 mahasiswa UIR yang menjalani latihan latihan industri di UiTM Perlis selama tiga minggu turut menghadiri pelancaran program itu, katanya dan menambah 30 mahasiswa UiTM Perlis pula akan membuat kunjungan ke UIR pada Julai akan datang.

Sempena pelancaran itu, Tuanku syed Faizuddin yang merupakan pengasas dan penaung Persatuan Woodball Perlis (PWPs) berkenan menyempurnakan gimik pelancaran klinik woodball untuk pelajar UIR tersebut.

Baginda berharap pelajar terlibat akan mengembangkan permainan woodball di Indonesia kelak selain sebagai promosi awal untuk Perlis yang akan menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Dunia 2020 nanti. - BERNAMA