MIRI, 10 JAN - Pasar Malam Saberkas, salah satu tarikan pelancongan popular di Bandaraya Miri akan dinaik taraf tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM900,000.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata projek menaik taraf itu akan bermula bulan ini dan dijangka siap pada penghujung Mac tahun ni dengan mengetengahkan banyak ciri-ciri kebersihan, keselamatan dan mesra alam yang baharu di pasar itu.

"Sebagai permulaan, pasar itu tidak lagi menggunakan bumbung kanvas kerana ia mahal dan tidak tahan lama," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di sini hari ini.

Yii berkata apabila siap kelak, pasar malam yang menyediakan gerai kepada 216 peniaga

akan mempunyai sistem penuaian air hujan, ruang membasuh dan sistem pelepasan air yang betul bagi memastikan

kebersihannya dan tidak merosakkan alam sekitar.

Selain pasar malam, Majlis Bandaraya Miri merancang untuk menaik taraf kemudahan di Luak Esplanade, Taman Awam, Taman Bulatan dan Taman Kipas Miri. - BERNAMA