JOHOR BAHRU, 9 JAN - Tujuh belas orang daripada enam keluarga yang terjejas akibat banjir masih berada di dua pemindahan sementara (PPS) di Segamat, pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 8 pagi ini jumlah mangsa banjir masih kekal seperti malam tadi.

Tujuh mangsa membabitkan dua keluarga adalah penduduk Kampung Kuala Paya yang dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Kuala Paya, sejak 8.30 pagi semalam.

"Seramai 10 mangsa daripada empat keluarga pula merupakan penduduk Kampung Balai Badang dan kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Balai Badang," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Keadaan cuaca di daerah itu dilaporkan mendung, namun pemantauan berterusan situasi banjir itu sedang dilakukan agensi berkaitan berikutan kediaman kesemua mangsa berdekatan Sungai Muar.

Bacaan paras air terkini sungai itu adalah 8.91 meter iaitu pada paras amaran, berbanding 8.90 meter terdahulu. - BERNAMA