IPOH, 8 JAN - Juruteknik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Perlis dan isterinya selamat selepas terlibat dalam kemalangan di KM 307.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Kampar, malam tadi.

Dalam kejadian 7.50 malam itu, Mohd Effendy Harun, 41, tidak cedera tetapi isterinya, Za'onah Hamisan, 41, cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Mohd Effendy berkata semasa kejadian, mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kangar, Perlis sebelum kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu isterinya hilang kawalan akibat dirempuh sebuah Toyota Vios lalu melanggar penghadang kiri jalan.

"Semalam, saya tidak berapa sihat dan meminta isteri memandu kereta. Ketika kejadian, saya sedang tidur terus dan terjaga apabila terdengar bunyi rempuhan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohd Effendy yang juga jurugambar sambilan Bernama berkata walaupun kenderaannya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat kemalangan itu, beliau dan isteri bersyukur kerana selamat.

Menurutnya beliau membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Gopeng kira-kira 10 pagi tadi.

Sementara itu, Za'onah yang bekerja sebagai Setiausaha di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata semasa kejadian, keadaan di sekitar lokasi kemalangan gelap serta hujan renyai.

"Kenderaan yang saya pandu berada di laluan kiri secara tiba-tiba dirempuh sebuah Vios yang dipandu seorang lelaki dari arah sama seterusnya menyebabkan saya gagal mengawal kenderaan lalu terbabas," katanya yang hanya sempat memeluk stereng semasa kenderaannya hilang kawalan. - BERNAMA