KUANTAN, 8 JAN - Keadaan banjir di Pahang hampir pulih dengan hanya 397 mangsa masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding 418 orang malam tadi.

Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM), masih terdapat enam PPS yang dibuka untuk menempatkan 301 mangsa iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Temai (124) serta Balai Raya Kampung Menchupu (65).

"Selain itu mangsa turut ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (48), Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (34), SK Acheh (28) dan dua orang di Balai Raya Kampung Tebat," menurut portal itu.

Di Maran, terdapat 53 mangsa yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Baru Pertanian (41 orang) dan SK Pesagi (12).

Di Bera pula, 43 mangsa masih ditempatkan di SK Charuk Putting (24) dan Masjid Kampung Mengkarak (19).

Sementara itu, sebanyak 12 sekolah yang terjejas dengan banjir masih ditutup di dua daerah yang membabitkan 1,922 murid dan guru hari ini.

Pemangku Pengarah Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata di Pekan, sebanyak lapan sekolah ditutup membabitkan 1,568 murid dan guru di Pekan.

"Ia melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Acheh, SK Kinchir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, SK Mambang, SK Temai, SK Pelak, SK Pulau Manis dan SK Belimbing."

"Di Maranpula, empat sekolah yang terlibat ialah SK Kertau, SK Pesagi, SK Kuala Wau dan SK Serengkam yang membabitkan 354 murid dan guru," katanya. - BERNAMA