KUALA LUMPUR, 24 JAN - TD Ameritrade Inc., subsidiari broker-peniaga runcit TD Ameritrade Holding Corp, memperkenalkan akses 24 jam sehari, lima hari seminggu untuk pelabur kepada pasaran ekuiti Amerika Syarikat.

"Perkembangan ini paling penting buat pelabur industri dan runcit kami. Orang ramai mempunyai kehidupan yang sibuk, mereka mahukan akses kewangan mereka pada bila-bila masa, dan pada mana-mana peranti," kata Naib Presiden Eksekutif (Perdagangan dan Pendidikan) TD Ameritrade, Steve Quirk, dalam satu kenyataan.

"Dagangan dalam talian telah menjadikan pasaran tersedia untuk sesiapa sahaja, manakala dagangan mudah alih telah menjadikan pasaran tersedia dari mana-mana dan kini perdagangan 24 jam akan menjadikan pasaran tersedia pada bila-bila masa."

Beliau berkata pada masa ini, pelanggan yang melakukan penyelidikan selepas waktu pasaran terpaksa menunggu hingga keesokan harinya untuk berurusan berdasarkan penemuan penyelidikan mereka.

"Sekarang ini, melalui platform 'thinkorswim' dan aplikasi TD Ameritrade Mobile Trader, pelanggan boleh mengakses dagangan semalaman," tambahnya. - BERNAMA