KUALA LUMPUR, 23 JAN - Malaysia tidak akan sesekali mengulangi langkah menambat ringgit kerana ia akan menjejaskan ekonomi dan kemakmuran rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita telah menegaskan bahawa kita tidak akan mengulangi langkah itu, dengan meyakini bahawa meskipun akan ada turun naik dalam tempoh jangka pendek, namun bagi jangka masa panjang paras ringgit akan mencerminkan kekuatan ekonomi Malaysia," kata Perdana Menteri semasa melancarkan Invest Malaysia 2018, di sini, hari ini.

Najib berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang yang katanya mempunyai tanggapan menambat semula ringgit akan menjadi satu langkah yang mudah dan membantu.

Menurut beliau, langkah menambat ringgit berbanding dolar AS yang dilaksanakan Malaysia semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98 telah diambil terlalu lama.

"Para pelabur dan pasaran global hilang keyakinan terhadap kita dan kita mengambil masa yang lama untuk memenangi semula hati mereka. Ia amat merugikan negara," katanya. - BERNAMA