KUALA LUMPUR, 11 JAN - Anak syarikat 60 peratus milik Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS), King Koil Licensing Company Inc (KKLC), merancang untuk mewujudkan kemudahan pembuatan tilam yang pertama bagi pengedaran langsung di negeri-negeri di barat Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2018.

Dalam kenyataan hari ini, KPS berkata pembuatan secara dalaman dan jualan terus kepada peruncit akan membolehkan KKLC mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas kualiti produk dan pengedaran pasaran.

KKLC, pengeluar tilam, turut akan membentuk kerjasama strategik dengan Blue Bell Mattress, antara pemegang lesen berprestasi tinggi.

"Di bawah kerjasama tersebut, Blue Bell akan mengeluarkan dan mengedarkan produk KKLC di negeri-negeri di timur laut AS dan barat tengah negara itu, di bawah perjanjian pembuatan kontrak," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KPS Ahmad Fariz Hassan berkata perubahan model perniagaan di AS akan memberi KKLC asas pendapatan yang lebih besar.

"Dalam jangka masa panjang, kami akan melihat pertumbuhan yang mampan berikutan kawalan yang lebih besar ke atas kualiti produk kami dan pengedaran dalam pasaran yang akan membawa keuntungan dan jumlah jualan yang lebih tinggi," katanya. - BERNAMA