AMPANG, 27 SEP - Gabungan NGO Malaysia hari ini memgumumkan akan membuka Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia yang berslogankan 'Makan Tengahari Percuma Setiap Hari' pada 16 Oktober ini di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Menurut Pengendali atau Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos, orang ramai boleh menikmati juadah yang akan disediakan secara berterusan ini pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 11 Pagi hingga 3 Petang.

Restoran berkenaan juga akan menyediakan 2 hingga 3 juadah dan menyasarkan kepada 1000 orang para tetamu pada setiap hari dan jika program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan, Jamal akan memikirkan untuk penambahan juadah dan juga akan membuka cawangan-cawangan yang lain.

Ditanya mengenai tujuan restoran ini diwujudkan, Jamal memberitahu restoran ini bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan selain melakukan amal jariah terhadap sahabat baiknya iaitu Allahyarham Solleh Hassan.

Jamal juga berkata, Idea untuk 'Makan Tengahari Percuma' ini juga tercetus kerana beliau melihat rakan-rakan NGO yang lain telah membantu memberikan sumbangan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dan perkara ini memberikan kesedaran kepadanya untuk turut sama membantu di dalam perkara berkenaan tetapi menguruskan dengan cara yang lain iaitu memberi ' Makan Tengahari Percuma' ini.

Dalam pada itu wujud kesedaran didalam diri Jamal dimana beliau diberi hidayah setelah menguruskan jenazah sahabat baiknya Allahyarham Solleh itu bahawa apa sahaja yang dilakukan didunia ini tetap penghujungnya akan menemui kematian.

Program ini juga turut disumbangkan oleh rakan-rakan perniagaan Jamal melalui Zakat Perniagaan dan Jamal sendiri juga turut menyumbang melalui Zakat Perniagaan dan juga peribadi.

Juadah yang akan disediakan juga tidak tertumpu pada golongan yang kurang berkemampuan malahan sesiapa pun jua boleh menikmati juadah yang disediakan oleh restoran terbabit.

Jamal turut beriltizam bahawa akan meneruskan program ini secara berterusan selagi termampu. - KITAIKINI